Friday, December 24, 2010

PENJAWAT AWAM JADI AHLI CUEPACS SECARA AUTOMATIK

KUALA LUMPUR 23 Dis. - Konvensyen Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang berakhir hari ini mencapai kata putus untuk memastikan semua penjawat awam yang layak menjadi ahlinya secara automatik.

Presiden CUEPACS, Omar Osman berkata, pihaknya akan memaklumkan hasrat berkenaan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dalam masa terdekat.

"Kita sasarkan pada 2011 semua penjawat awam yang layak akan menjadi ahli kerana kita tidak mahu ada yang menentang perjuangan CUEPACS.

"Daripada jumlah keseluruhan penjawat awam, terdapat 900,000 yang layak menjadi ahli namun pada masa ini hanya kira-kira 500,000 orang sahaja yang telah mendaftar," katanya.

Beliau ditemui pemberita sejurus Konvensyen Tritahunan kali Ke-25 CUEPACS yang berlangsung di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya (UM), di sini, ditangguhkan petang ini.

Konvensyen berkenaan turut membabitkan proses pemilihan kepimpinan CUEPACS bagi penggal 2010 hingga 2013 yang menyaksikan Omar berjaya mempertahankan jawatannya untuk penggal kedua menewaskan Presiden Kesatuan Kakitangan Am MARDI (Kekam), Ramli Omar.

Omar memperoleh 816 undi manakala pencabarnya mendapat 154 undi sahaja.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya juga akan berusaha untuk memastikan semua kesatuan dalam perkhidmatan awam menjadi ahli gabungan CUEPACS.

Katanya, pada masa ini sebanyak 79 kesatuan sudah menjadi ahli gabungan manakala 12 kesatuan lagi dalam proses pertimbangan.

"Terdapat lebih daripada 50 kesatuan yang belum membuat permohonan berikutan kutipan yuran yang masih rendah," katanya.

Sementara itu, Omar melahirkan harapan supaya kerajaan mendahulukan ahli-ahli CUEPACS dalam mempertimbangkan kenaikan pangkat, peluang latihan mahupun pemberian bonus.

Katanya, ia kerana terdapat segelintir penjawat awam yang tidak menghargai perjuangan CUEPACS termasuklah melemparkan kritikan apabila sesuatu desakan tidak berjaya namun tidak pula mengucapkan terima kasih apabila desakan itu dipenuhi kerajaan.

"Kita juga tidak mahu ahli kita yang ada potensi dan kreatif diketepikan manakala bukan ahli dilantik ke jawatan yang lebih baik hanya kerana selalu berdampingan dengan pihak atasan," tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, konvensyen berkenaan, bersetuju untuk menubuhkan unit penyelidikan dan pembangunan (R&D) hal ehwal penjawat awam.

Katanya, ia bagi memenuhi hasrat ahli yang mahu melihat CUEPACS berjuang secara tersusun dan bertindak dengan lebih cekap.

Tuesday, December 14, 2010

SOAL JAWAB: PRODUKTIVITI, DISPLIN LEBIH ADIL MENILAI PRESTASI PERKHIDMATAN

CUEPACS syor tumpuan kepada latihan, sistem mata gaji kakitangan awam diubah

JANGKA hayat peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), sistem diperkenalkan lapan tahun lalu untuk menilai kecekapan kakitangan awam hanya berbaki kira-kira tiga minggu lagi. Apa reaksi CUEPACS, kesatuan sekerja mewakili kakitangan sektor itu dan paling lantang mahu PTK dimansuhkan sebelum ini. Wartawan Edisi Mingguan, ROHANIZA IDRIS dan MOHD AZIS NGAH menemui Presiden CUEPACS, Omar Osman dan memperincikan kaedah penilaian yang diguna pakai kerajaan bagi menilai lebih 1.2 juta kakitangannya.

AKHIRNYA desakan CUEPACS supaya PTK dimansuhkan tercapai. Apa sebenarnya punca sistem ini tidak diterima?

CUEPACS pada awalnya akur dengan Sistem Saraan Malaysia (SSM) bagi menggantikan Sistem Saraan Baru (SSB) pada Oktober 2002 kerana kita lihat banyak kebaikan dan pembaharuan. Namun, selepas lima tahun dilaksanakan, kami lihat banyak masalah timbul. Pada awalnya semua lancar dengan kakitangan awam lulus PTK dapat naik pangkat walaupun tanpa kekosongan jawatan dan anjakan gaji, tetapi selepas itu jika lulus PTK pun tiada jaminan naik pangkat walaupun ada kekosongan, malah gaji pun tak dianjakkan. Dalam sesetengah kes, ada yang dapat naik pangkat, tapi tak naik gaji, ada yang naik gaji tapi tak naik pangkat, lebih malang yang lulus PTK pun tak dapat kedua-duanya.

CUEPACS nampak selama lapan tahun PTK berjalan, banyak masalah timbul dan objektifnya tak tercapai malah tiada kajian keberkesanannya dibuat. Kita pernah diminta bagi cadangan penambahbaikan PTK, namun masalah tetap tak selesai, malah menyusahkan lagi kakitangan kerana terpaksa meninggalkan tugas hakiki sebab nak beri perhatian kepada peperiksaan.

Pelaksanaan PTK tak ikut seperti termaktub dalam Pekeliling Perkhidmatan Awam, malah PTK tak menjanjikan naik pangkat kerana terikat dengan kuota jawatan. Dalam sesetengah kes, PTK bukan kayu pengukur kenaikan pangkat kerana ketua jabatan tak luluskan kenaikan itu. Lebih malang jika lulus PTK dan dapat sokongan ketua jabatan pun, tapi prestasi tak cemerlang tak juga dapat naik pangkat. Begitu juga sebaliknya, kakitangan dapat sokongan ketua dan jadi pekerja cemerlang dengan mata 80 peratus ke atas, tapi kerana tak lulus PTK, dinafikan hak naik pangkat. Ini bererti kenaikan pangkat dan anjakan gaji bergantung kepada tiga faktor ini, bukannya PTK saja diambil kira.

Kita nampak masalah dalam SSM menyebabkan ada pekerja junior mendahului pekerja senior. Akibat tak lulus PTK, ada kakitangan berkhidmat 25 tahun tak naik-naik gaji dan pangkat walaupun berpengalaman luas, malah mereka pula mengajar junior yang sudah jadi ketua. Kita juga lihat soalan dikemukakan dalam PTK tak menepati bidang kerja kakitangan. Itu sebabnya ramai tak lulus walaupun praktikal mereka bagus dalam tugas. Penyedia soalan adalah jawatankuasa khas di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, bukan pegawai di jabatan masing-masing.

Tarikh pemansuhan PTK sudah diumumkan iaitu 1 Januari ini, tapi belum ada sistem baru untuk menggantikannya?

Bagi CUEPACS, pemansuhan PTK tepat pada masanya kerana memang ini yang kita harapkan. Kita dapati masalah PTK ini menyebabkan pekerja protes secara senyap, mereka tak lagi bekerja bersungguh-sungguh malah ada yang melanggar disiplin kerana bosan selepas asyik tak lulus periksa atau rasa terpinggir apabila ada rakan yang lulus PTK dapat naik pangkat dan anjakan gaji. Kini ramai yang memuji langkah kerajaan dan berasa lega.

Jadi apa cadangan CUEPACS untuk menilai kakitangan awam?

Kita cadangkan sistem penilaian baru yang mengambil kira pengalaman, produktiviti dan kualiti, bukannya berdasarkan peperiksaan, sokongan ketua jabatan dan penilaian prestasi saja. Ada banyak cara lain untuk mengukur kompetensi kakitangan awam, lebih baik fokus pada integriti. Jika integriti tinggi, prestasi cemerlang dan produktiviti bagus, ada peluang naik pangkat dan gaji terutama badan beruniform dan penguatkuasaan seperti tentera dan polis. Daya kreativiti dan inovatif kakitangan awam juga perlu diambil kira dalam penilaian untuk naik pangkat dan gaji kerana bukan semua boleh berfikiran seperti itu. Disiplin dan kerajinan juga harus diambil kira. Semua itu disekat dalam PTK.

Bagaimana mahu mengelakkan ketidakadilan dalam menilai prestasi kakitangan?

CUEPACS pernah suarakan supaya pandangan pekerja diambil kira sebelum buat sistem baru supaya apabila dilaksanakan nanti, tidak mendatangkan masalah seperti PTK. Kita tak mahu sistem baru nanti mencedok atau menggabungkan sistem lama dengan penambahbaikan saja, kita mahu sistem benar-benar baru yang tidak lompong, lebih adil dan saksama serta tak menyusahkan penjawat awam, membazir wang kerajaan dan membuang masa. Tak perlu ada peperiksaan dan kursus lagi, sebaliknya beri tumpuan kepada latihan meningkatkan kecekapan dan kualiti pekerja. Sekarang saya nampak ada jabatan kerajaan mendapat pelbagai anugerah, namun prestasi pekerja masih rendah, jadi ia tak melambangkan kecemerlangan keseluruhan. Saya pasti kecemerlangan jabatan bergantung kepada kecemerlangan kakitangannya. Justeru, faktor ini juga perlu diambil kira dalam penilaian prestasi pekerja untuk naik pangkat dan anjakan gaji. Kita juga mahu JPA mengkaji penambahan lima tangga mata gaji setiap gred perkhidmatan awam berbanding tiga sekarang bagi mengelak gaji maksimum diterima kakitangan awam untuk tempoh yang lama. Selepas had umur persaraan dinaikkan kepada 58 tahun, sepatutnya sistem mata gaji diubah kerana tempoh perkhidmatan bertambah. Kita tak mahu ada kakitangan berada dalam tahap gaji maksimum terlalu lama. Sekarang ada penjawat awam gajinya tak naik lebih 12 tahun kerana sudah capai maksimum.

Difahamkan sistem penilaian baru nanti akan menepati kriteria Petunjuk Prestasi Utama (KPI). Apa pandangan CUEPACS?

Setiap agensi atau jabatan kerajaan ada hala tuju, matlamat, piagam pelanggan dan sasaran masing-masing. Ketua jabatan juga ada strategi untuk menunjukkan keupayaan jabatan masing-masing. Justeru, saya bersetuju sistem baru nanti perlu menepati KPI. Kita tak mahu KPI jabatan terlaksana dengan jayanya, tapi nasib pekerja tak terbela. Kita tak mahu ada yang kerja 30 tahun, tak dapat naik pangkat. Saya percaya jika sistem penilaian baru nanti dapat menyelesaikan masalah yang wujud, produktiviti perkhidmatan awam dapat ditingkatkan.

Posted by CUEPACS at 01:47

Sunday, December 12, 2010

JPA PERLU BERBINCANG DENGAN KESATUAN SEKERJA SEBELUM LAKSANA PENILAIAN BARU

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Kesatuan dan persatuan pekerja kakitangan awam mahu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengadakan perbincangan dengan mereka sebelum merangka dan melaksana penilaian baru bagi kakitangan perkhidmatan awam.Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Omar Osman berkata, ini adalah penting untuk mendapatkan pandangan dan pendapat bersama bagi menghasilkan satu sistem penilaian yang terbaik, dan bagi menepati kehendak penjawat awam untuk menggantikan peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang ditamatkan Januari depan.

Beliau berkata penilaian baru yang akan diperkenalkan diharap satu sistem yang adil dan tidak berkonsepkan peperiksaan yang mana penjawat awam dinilai berdasarkan produktiviti, kreativiti, inovatif dan sumbangan kepada organisasi."Kita tidak mahu orang lihat yang lulus PTK itu saja yang cemerlang walhal orang bawah bertungkus lumus buat kerja, Jadi, saya minta penilaian yang baru nanti menilai penjawat awam sama rata, tidak ada unsur berat sebelah atau pilih kasih, katanya kepada Bernama di sini.JPA baru-baru ini mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 13 Tahun 2010, yang memaklumkan mengenai pemansuhan PTK berkuatkuasa 1 Jan 2011, dan ia tidak lagi menjadi syarat kenaikan pangkat mulai 1 Jan depan.Pekeliling itu dikeluarkan berikutan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2011 pada Oktober lepas yang memaklumkan bahawa kerajaan memutuskan untuk memansuhkan PTK dan menggantikan dengan sistem penilaian yang lebih sesuai dan diterima baik oleh pegawai awam menjelang Jun tahun depan.

Omar berkata PTK yang diwujudkan tanpa kajian menyeluruh telah mencapai matlamatnya dan sepatutnya sudah lama dimansuhkan memandangkan ramai penjawat awam menolak peperiksaan itu.Untuk itu, beliau berkata penilaian semula yang lebih adil dan saksama perlu diadakan selepas ini.Sementara itu, Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM) Hamzah Masri berkata dengan adanya perbincangan antara JPA dan kesatuan, sistem penilaian baru itu nanti akan memenuhi keperluan pelbagai sektor daripada hanya tertumpu kepada pandangan JPA sahaja.Beliau berharap penilaian baru ini tidak berorientasikan peperiksaan lagi seperti PTK yang diperkenalkan kerajaan pada 1 Nov 2002 yang diwujudkan untuk menggalakkan pembangunan diri pegawai perkhidmatan awam melalui pembelajaran berterusan.

Selain itu ia bertujuan meningkatkan budaya organisasi pembelajaran dan melaksanakan pengurusan sumber manusia berasaskan kompetensi, katanya.Hamzah juga berharap penilaian baru ini dapat memberi tumpuan lebih kepada bidang tugas masing-masing dan tidak dibebankan dengan peperiksaan."Penilaian yang melibatkan bidang tugas masing-masing (penjawat awam) lebih sesuai dan lebih tepat. Penjawat awam bukan lagi di peringkat pelajar. Kalau boleh penilaian yang baru ini tidak berbentuk peperiksaan tetapi dinilai mengikut tahap kecekapan bidang masing-masing yang mana lebih berkesan," katanya.-- BERNAMA

Wednesday, December 1, 2010

KONVENSYEN TRI TAHUNAN CUEPACS

Konvensyen Tri Tahunan CUEPACS akan diadakan pada 21-23 Disember 2010, di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, Lembah Pantai, Kuala Lumpur. YAB Perdana Menteri Malaysia akan merasmikan konvensyen ini pada jam 9.30 pagi 21 Disember 2010.

Pemilihan baru barisan pemimpin CUEPACS bagi sesi 2010-2013 akan dibuat semasa konvensyen ini dan KEPP-STAS akan diwakili oleh 5 orang AJK Tertinggi.

Sempena Konvensyen ini juga, satu seminar bertajuk "Transformasi Penjawat Awam ke Arah Lebih Kreatif dan Inovatif" akan dilangsungkan juga di Dewan Tunku Canselor pada 20 Disember 2010. 5 orang peserta KEPP-STATS iaitu 3 orang MJKK, wakil JP WPKL dan wakil JP Selangor akan menyertai seminar.

MJKK KEPP-STATS 2010-2012

Monday, November 29, 2010

KEPUTUSAN PEMILIHAN MJKK KEPP-STATS 2010-2012

Keputusan pengundian MJKK bagi sesi 2010-2012

PRESIDEN:             ENCIK MURDAFI BIN ITHNIN (Menang tanpa bertanding)

NAIB PRESIDEN:  ENCIK ISMAIL BIN NOPIAH (Menang tanpa bertanding)

SETIAUSAHA:       ROSLAN BIN NORDIN (Menang tanpa bertanding)

PENOLONG          CIK NOOR ARFIKEEN BINTI ARIFFIN (189 undi)
SETIAUSAHA:       Puan Norfadhilah binti Mat Nor (155 undi)

BENDAHARI:         PUAN NOOR HANIM BINTI HARUN (menang tanpa bertanding)

AJK:                        ENCIK ROMLI BIN YAHAYA (284 undi)
                                ENCIK ZAMRI BIN ZAKARIA (275 undi)
                                ENCIK MYRLIZAM BIN SABTU (258 undi)
                                PUAN NUR AZLILYANY MOK BINTI ABDULLAH (225 undi)
                                ENCIK FAUZI BIN MUSTAFFA (198 undi)
                                Puan Rosmawati binti Abu Kassim (176 undi)
                                Encik Raymei bin Abdul Aziz (164 undi)
                                Encik Omar bin Nawawi (124 undi)
                                Encik Malik bin Mustakim (103 undi)

Undi diterima:   370 undi
Undi rosak:          4 undi (pangkah lebih)

MESYUARAT AGUNG KE 26

Mesyuarat Agung ke 26 Kesatuan Pembantu Perangkaan telahpun dilangsung dengan jayanya pada petang Isnin, 22 November 2010 bertempat di Dewan Anggerik, Aras 2, Jabatan Perangkaan Malaysia, Putrajaya. Seramai 187 orang ahli dari Ibu Pejabat, Wakil JP Negeri/Pejabat Operasi dan Wisma Minlon telah hadir menjayakan mesyuarat ini.

Y.Bhg. Dato' Hjh. Wan Ramlah binti Wan Abd. Raof, Ketua Perangkawan Malaysia telah sudi memberikan amanat dan seterusnya merasmikan mesyuarat agung ini.

Amanat yang disampaikan oleh Y.Bhg. Dato KP adalah:

Y.Bhg. Dato’ Ketua Perangkawan Malaysia, memulakan ucapan dengan memberi salam dan salam satu Malaysia kepada semua hadirin. Beliau melahirkan rasa gembira kerana inilah julung kalinya beliau hadir dan merasmikan mesyuarat Kesatuan.

Beliau seterusnya mengucapkan tahniah dan syabas kepada MJKK KEPP-STATS atas inisiatif menganjurkan Mesyuarat Agong Tahunan ke 26. Dalam tempoh ini, beliau berharap KEPP-STATS akan lebih matang dan dapat melakukan transformasi serta memainkan peranan yang lebih proaktif mewakili seluruh warga Pembantu Perangkaan selaras dengan penubuhannya.

Beliau seterusnya memaklumkan bahawa pihak Pengurusan prihatin dengan apa jua program dan aktiviti yang dijalankan oleh KEPP-STATS. Ini dibuktikan dengan kelulusan yang diberikan kepada Kesatuan untuk menganjurkan mesyuarat agongnya di dalam waktu bekerja dan di Dewan Anggerik malah diberikan kebenaran untuk mengunakan kemudahan mencetak dokumen.

Y.Bhg. Dato’ juga mengiktiraf sumbangan yang diberikan oleh warga Pembantu Perangkaan sebagai tulang belakang dalam menjayakan program dan aktiviti Jabatan kerana kelompok ini membentuk 58% jumlah tenaga kerja jabatan yakni 1,915 orang daripada jumlah anggota seramai 3,300 orang tidak termasuk anggota Pembantu Perangkaan Sambilan.

Y.Bhg. Dato’ berkata, yang beliau dimaklumkan bahawa keanggotaan Kesatuan masih rendah iaitu seramai 535 orang daripada 1,300 Pembantu Perangkaan di Semenanjung Malaysia. Beliau menyeru semua Pembantu Perangkaan yang masih belum menjadi ahli supaya mendaftar sebagai ahli kerana Kesatuan adalah platform untuk mengangkat isu berkaitan perkhidmatan dan kebajikan melalui MBJ untuk diteliti dan diselesaikan oleh pihak Pengurusan.

Y.Bhg. Dato’ mengimbas balik skop Kesatuan semasa penubuhannya iaitu untuk memperjuangkan isu jawatan sementara. Namun keadaan sekarang telah berubah, dan beliau berharap agar Kesatuan dapat membuat penyesuaiaan supaya perjuangan mereka lebih relevan mengikut pengedaran masa. Beliau juga menyeru agar Kesatuan berganding bahu dengan pengurusan dalam memajukan Jabatan serta menganjur program untuk meningkatkan tahap kemahiran anggotanya.

Menyentuh isu pemberian KUP, Y.Bhg Dato’ menjelaskan bahawa Pengurusan tidak mengamalkan diskriminasi. Jika seseorang itu cukup syarat sebagaimana yang digariskan iaitu berkhimat lebih 15 tahun atas lantikan pertama, lulus tahap 3 PTK dan mendapat penilaian prestasi melebehi 78% selama 3 tahun berturut-turut, maka tiada sebab mereka tidak diberikan jawatan KUP. Beliau seterusnya mengingatkan semua ahli supaya tidak hanya menyalahkan Jabatan, tetapi menghasabah diri sendiri, kerana setiap tingkah laku menentukan pencapaian seseorang.

Beliau mengakhiri amanat beliau dengan menasihatkan semua ahli untuk menilai apakah peranan dan sumbangan yang telah diberikan untuk mencapai visi Jabatan untuk menjadi organisasi statistik yang terbilang? Beliau juga memberikan jaminan bahawa apabila kita dapat menyumbangkan output yang positif maka segala tuntutan yang diminta, insya’Allah akan ditunaikan.